Kemahiran Hidup merupakan satu mata pelajaran bercorak amali yang diajar dalam Tahap 2 Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Mata pelajaran ini digubal untuk mengembangkan keupayaan dalam bidang reka bentuk dan teknologi serta perniagaan dan keusahawanan. Bidang ini dapat dikuasai melalui penguasaan kemahiran praktis, pengeathuan serta pemupukan sikap yang positif berasaskan teknologi dan kusahawanan.
Kemahiran Hidup Sekolah Rendah bertujuan membolehkan murid memperoleh kemahiran praktis asas dan pengetahuan berasaskan teknologi, keusahawanan, dan aspek pengurusan diri supaya mereka dapat menjalankan kerja-buat-sendiri serta cenderung berusahaniaga dan mereka cipta.
Kurikulum ini masih menuju ke arah memperkembangkan kebolehan murid dalam kemahiran berteknologi, kecenderungan mereka cipta dan semangat keusahawanan. Kemahiran asas yang sedemikian dapat digunakan sepenuhnya untuk membolehkan murid berdikari dan yakin diri serta mampu menjalani kehidupan scara produktif dalam dunia teknologi dan ekonomi yang kompleks dan sentiasa berubah. Murid juga digalakkan mengambil inisiatif dan merebut peluang yang ada secara bijak, kreatif dan inventif. Nilai murni, sikap positif dan budaya kerja yang baik diterapkan semasa menjalankan aktiviti amali agar kesepaduan dalam mata pelajaran ini dapat diwujudkan.